TASHKENT: KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menghadiri Persidangan Diraja bertemakan ‘Tradisi Saintifik Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran’ yang berlangsung di Pusat Peradaban Islam Antarabangsa (ICC), Tashkent, Uzbekistan.
Persidangan berprestij itu merupakan anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ICC, sekali gus menegaskan peranan Malaysia dalam memperkukuh tradisi saintifik Islam di pentas antarabangsa.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Menteri Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan, Kongratbay Avezimbetovich Sharipov.
Turut hadir dalam persidangan tersebut ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Tuan Yang Terutama Ilham Tuah Illias; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Azman Mokhtar serta Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Sebagai Canselor UTM, Seri Paduka Baginda berkenan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UTM dengan lima institusi utama Uzbekistan.
Antara institusi tersebut ialah Pusat Peradaban Islam, Tashkent; Pusat Kajian Antarabangsa Imam Maturidi; Akademi Islam Antarabangsa Uzbekistan; Universiti Tashkent bagi Pengajian Oriental serta Pusat Kajian Antarabangsa Imam Bukhari, Samarkand.
Dalam majlis penuh bersejarah itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan penyerahan sebanyak 20,000 naskhah Mushaf Quran versi Malaysia daripada Nasyrul Quran kepada Lembaga Waqaf Uzbekistan.
Penyerahan tersebut menjadi simbol persaudaraan Islam dan usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang keilmuan serta dakwah.








