TASHKENT: Keberangkatan tiba KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent pada pukul 3.10 petang waktu tempatan, sempena Lawatan Khas ke negara Asia Tengah itu.
Ketibaan Baginda disambut penuh hormat oleh Menteri Pendidikan Persekolahan dan Pra Sekolah Uzbekistan, Ezozkhon Karimova serta Timbalan Menteri Luar Negeri Uzbekistan, Usmanov Bobur Masudovich.
Turut hadir menyambut ialah Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, TYT Ilham Tuah Illias bersama tokoh akademik dan pentadbiran pendidikan tinggi Malaysia termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Azman Mokhtar dan Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Lawatan itu membawa misi besar apabila Seri Paduka Baginda, selaku Canselor UTM, dijadual menyampaikan titah diraja pada persidangan antarabangsa bertemakan ‘Tradisi Saintifik Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran’ di Pusat Peradaban Islam Antarabangsa (ICC), Tashkent pada 5 Mei.
Persidangan berprestij itu bakal menghimpunkan cendekiawan dan pemikir dari seluruh dunia, sekali gus menegaskan peranan Malaysia dalam memperkasa tradisi saintifik Islam di pentas global.
Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang dijadual menghadiri sidang berkenaan.
Selain itu, Raja Permaisuri Agong juga akan menyaksikan lima pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan beberapa universiti serta pusat ketamadunan Islam di Uzbekistan sebagai langkah yang dijangka membuka ruang kerjasama akademik dan penyelidikan lebih luas antara kedua-dua negara.








