Nasional

Sistem kuota Melayu, Bumiputera dalam pendidikan dikekalkan – PM Anwar

SISTEM kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi
mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Mesti cari jalan pastikan bukan Bumiputera tak tersisih
Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika sistem itu tidak
dikekalkan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan atau ‘tempang’ jumlah
pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu.
“Beberapa
prinsip dalam Perlembagaan negara tentang jaminan, peluang supaya
anak-anak Melayu dan Bumiputera itu diberikan tempat yang mampu
bersaing, ini kita kekalkan,” katanya semasa menjawab soalan seorang
pelajar semasa program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia
(UUM).
Oleh yang demikian, beliau mencadangkan Menteri
Pendidikan, Fadhlina Sidek mengekalkan kuota Bumiputera di universiti
awam di samping membuka lebih banyak ruang kepada golongan berpencapaian
tinggi daripada masyarakat lain.
“Ya, saya setuju kuota itu
dikekalkan, tetapi kita mesti mencari jalan lain untuk memberi ruang
kepada pelajar bukan Melayu dan bukan Bumiputera yang cerdik dengan
keputusan yang baik supaya tidak kelihatan seperti mereka terpinggir,”
katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa kuota bertujuan membantu
pelajar Bumiputera menjadi berdaya saing kerana mereka sebelum ini hanya
sedikit dalam fakulti kejuruteraan dan perubatan universiti awam pada
1960-an dan 1970-an.
Bagaimanapun, katanya, kelemahan sistem sebegini ialah ia melemahkan meritokrasi.
“Mesti ada keseimbangan yang adil,” katanya sambil menunjuk kepada dasar tindakan afirmatif di Amerika Syarikat.
Tambahnya
lagi, walaupun orang Melayu adalah antara yang termiskin di negara ini,
yang paling miskin di antara orang miskin selalunya adalah etnik India.
“Tanggungjawab kita adalah untuk meningkatkan mereka,” katanya.
Beliau
kemudian memberi amaran supaya tidak mempolitikkan tindakan sedemikian,
terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini
dengan wujudnya tindakan pihak tertentu yang menuduhnya melupakan orang
Melayu.

-AA

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close