Dasar pelarasan ekosistem keselamatan siber bakal dimuktamadkan

KEPUTUSAN -KEPUTUSAN dasar mengenai penyelarasan ekosistem keselamatan siber negara akan
dibincangkan dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 19 Julai
ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan tak kompromi keselamatan ruang siber
Beliau berkata, langkah itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen tegas kerajaan dalam menangani cabaran keselamatan siber.
“Saya
jelaskan dengan tegas di sini bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan
berkompromi dalam isu berkaitan keselamatan ruang siber kita dan tidak
akan berlengah dalam hal ini.
“Apa sahaja ‘kekurangan’ kita yang
berkaitan dengan aspek masa, kita akan tebus ia dengan kerja keras,”
kata Perdana Menteri pada majlis perasmian Pameran dan Persidangan
Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2023, di Kuala Lumpur pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Fadillah Yusof yang hadir mewakili Perdana Menteri merasmikan
majlis berkenaan.
Keputusan untuk membawa isu itu ke Mesyuarat
Kabinet dibuat selepas Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa
Keselamatan Siber Kebangsaan pertama bulan lepas, yang membincangkan
keputusan-keputusan penting dalam mengukuhkan keselamatan siber di
Malaysia.
Anwar berkata mesyuarat sebulat suara mengesahkan
Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) kekal sebagai agensi pusat
keselamatan siber yang melaporkan terus kepada Perdana Menteri, dengan
pelbagai langkah untuk meningkatkan keselamatan siber akan disepadukan
di bawah payung agensi itu.
Beliau berkata ini akan memastikan
penyelarasan pusat dan membolehkan kerajaan mewujudkan strategi yang
padu dan komprehensif dalam menentang ancaman siber, memperkemas usaha
dan memaksimumkan keberkesanan kolektif.
Perdana Menteri berkata
mesyuarat itu juga bersetuju bahawa penggubalan segera Rang
Undang-undang Keselamatan Siber adalah perlu untuk memastikan rangka
kerja undang-undang yang teguh dengan tadbir urus yang baik untuk
menangani dengan berkesan ancaman siber yang berkembang.
“Rang
Undang-undang Keselamatan Siber akan memberikan NACSA kuasa
undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan
undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan siber, sekali gus
meningkatkan keberkesanan fungsi mereka.
“CyberSecurity Malaysia,
sebuah syarikat yang terhad oleh jaminan dan yang turut memainkan
peranan penting dalam mengukuhkan ekosistem keselamatan siber di
Malaysia, akan diletakkan di bawah NACSA untuk mengelakkan pertindihan
dan kekeliruan,” tambahnya.
-AA

Anda Mungkin Berminat