FAHAMAN sekular Laïcité atau pandangan menolak agama secara mutlak dalam pentadbiran tidak boleh diterima oleh rakyat dan Kerajaan Perpaduan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terma sekular mesti difahami dengan tepat |
Beliau yang juga Perdana Menteri menegaskan, nilai agama adalah penting dan itu tidak boleh dibuang dari asas pentadbiran sesebuah kerajaan.
“Kenapa kita perlu menerima Laïcité sedangkan nilai agama adalah penting.
“Malah, dalam hal membabitkan keadilan, ia disebut dalam khutbah Jumaat,” katanya.
Anwar berkata begitu dalam sesi soal jawab dalam Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Turut berangkat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Terdahulu, Anwar diminta mengulas berhubung kenyataannya dalam program Naratif Khas bersama Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum ini bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya menolak sekular.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Anwar menegaskan sekiranya terma sekular itu ingin dipopularkan, ia perlu dipastikan bahawa terma berkenaan dapat difahami dengan jelas oleh keseluruhan masyarakat di negara ini.
Ini kerana jelasna, majoriti masyarakat Islam mengambil fahaman sekular sebagai sesuatu yang menolak agama secara mutlak dalam pentadbiran.
“Bukan itu yang perlu difahami oleh masyarakat Islam, sebaliknya walaupun kerajaan mempunyai elemen sekular, namun nilai agama masih diterapkan.
“Sekiranya terma berkenaan tidak difahami dengan jelas, maka akan terputus sepenuhnya naratif dan wacana golongan bandar dan elit dengan sentimen serta pemahaman orang ramai,” tambahnya.