Nasional

Tentera Darat siasat dakwaan kes dera anggota

Tentera Darat Malaysia (TDM) menjalankan siasatan berhubung isu dera membabitkan anggotanya yang tular di media sosial.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan berkata, kementerian melalui TDM telah mengarahkan pasukan agar siasatan dalaman dilaksana dan dipantau bagi mengenalpasti mereka yang terlibat.

Katanya, kes itu juga telah diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk tindakan seterusnya.

“Kementerian amat memandang serius mengenai isu dera di kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat serta terbukti bersalah sama ada secara langsung atau tidak di dalam kes seumpama ini.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap warga ATM sama ada individu atau mana-mana pihak yang sengaja mengeluarkan atau membuat dakwaan palsu sehingga boleh mencemarkan nama baik Kementerian Pertahanan dan ATM,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang individu dipercayai anggota tentera yang mendakwa bahawa beliau dan beberapa orang rakannya telah didera secara fizikal oleh anggota senior di sebuah kem di Sungai Petani, Kedah.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan datau spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close