Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan mempunyai 3,000 hingga 4,000 rumah di bawah Program Smart Sewa menjelang 2026.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program Smart Sewa diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada golongan muda termasuk pasangan baru berkahwin memiliki tempat untuk berlindung sementara.
Menurutnya, di dalam dasar Rumah Selangorku 3.0, Kerajaan Selangor telah mengembalikan rumah dua bilik dan rumah satu bilik.
“Bukannya kita nak kembalikan kehidupan bersempit-sempit, tetapi kita memahami realiti untuk mereka yang baru berkahwin, orang yang baru ada satu anak tidak memerlukan bilik yang banyak.
“Smart Sewa ini adalah rumah sebelum anda layak beli rumah. Anda sewa selama lima tahun, selepas itu, kita pulangkan 30 peratus daripada sewaan anda sebagai deposit awal tambahan simpanan yang boleh dibuat untuk membeli rumah,” katanya.
Jelasnya, dasar mengenainya telah diluluskan dan dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi rumah satu dan dua bilik dapat dilaksanakan untuk memberi peluang kepada pasangan-pasangan muda untuk miliki rumah.
“Kita faham harga hartanah di Selangor agak mahal, jadi kita bantu mereka ini sekurang-kurangnya mempunyai tempat untuk berlindung,” ujarnya.