Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo di bawah inisiatif Pakej Rahmah menawarkan harga langganan RM69 untuk tempoh kontrak 24 bulan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Fahmi berkata, Pakej Rahmah Allo yang menawarkan perkhidmatan Internet dengan data tanpa had sepanjang tempoh kontrak memberikan penjimatan RM30 sebulan berbanding pakej semasa yang ditawarkan syarikat berkenaan iaitu RM99.
“Rakyat Malaysia daripada kumpulan sasar seperti golongan B40, warga emas, veteran Angkatan Tentara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Orang Kurang Upaya, layak menikmati akses Internet tersebut dengan kelajuan 100 megabit sesaat (Mbps),” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo, hari ini.
Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Digital dengan penyedia perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Allo Technology Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad.
Fahmi berkata, perkhidmatan internet tersebut meliputi kawasan bandar dan luar bandar bagi kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang mempunyai akses rangkaian liputan Allo.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pakej tersebut bersifat ihsan kepada golongan sasar di samping membina negara yang lebih mampan serta membentuk rakyat lebih inovatif dan berdaya cipta bagi menjamin kesejahteraan melalui ekonomi digital.
“Kemudahan internet kini tidak lagi dianggap sebagai satu kemewahan, ia sudah dianggap sebagai utiliti asas.
“Internet juga menjadi platform mencari rezeki, sama ada dari sudut peluang pekerjaan atau sebagai platform digital perniagaan bagi rakyat yang bergelar usahawan mikro,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius untuk menjaga kebajikan rakyat dalam menikmati perkhidmatan internet terbaik dengan harga lebih murah dan mampu milik melalui inisiatif Pakej Rahmah tersebut.
“Inisiatif ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup serta memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh buat segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata semua inisiatif Pakej Perpaduan telah dijenamakan sebagai Pakej Rahmah bagi memperingati inisiatif yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub semasa menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Perubahan tersebut selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada Selasa lepas supaya ‘Rahmah’ dijenamakan sebagai inisiatif nasional kepada kumpulan sasar B40,” katanya.