Ekonomi Madani ialah sebuah kerangka wahana yang jelas dan komprehensif, bagi memungkinkan pembentukan mampan sistem ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia terangkum sebagai usaha dan upaya kerajaan dalam meningkatkan tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, visi ini menekankan kepentingan penyertaan sektor swasta dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
“Ia juga memainkan peranan untuk menggalak daya inovasi dan juga mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri menyatakan demikian susulan pertemuan dengan beberapa pelabur terkemuka bagi meneroka peluang pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama, di Putrajaya, semalam.
Jelas beliau, ia adalah sebahagian daripada ikhtiar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam Ekonomi Madani.
“Perjumpaan ini disertai beberapa pelabur yang berpengaruh di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi serta syarikat yang berjaya.
“Antaranya, pengasas bersama laman Facebook Eduardo Saverin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital Raj Ganguly, Pengasas WM Partners Alejandro Weinstein dan Pengasas European Venture Funds Peter Kadas,” katanya.
Anwar berkata, kehadiran figura ternama itu bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara, malah ia membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
“Perjumpaan yang pertama seumpama ini membuka peluang untuk berkongsi pandangan serta meneroka kerjasama untuk mencapai matlamat ekonomi negara.
“Perbincangan turut menyentuh memberi soal peluang bagi meneroka pelaburan dalam sektor utama seperti teknologi dan inovasi, tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta hospitaliti, dan pembuatan,” katanya.