Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menimbangkan pemberian insentif khas kepada atlet yang menyumbang pingat pada Sukan Komanwel Remaja (CYG) 2023 di Trinidad dan Tobago, baru-baru ini.
Timbalan Menteri, Adam Adli Abdul Halim berkata, insentif kebiasaanya diberikan kepada atlet senior yang meraih pingat di mana-mana temasya, namun soal berhubung insentif bagi atlet CYG 2023 akan diputuskan dalam satu mesyuarat bersama dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) minggu hadapan.
“Kita bincang mengenai perkara itu, sebagai usaha memberi galakan kepada atlet remaja ini. Kita akan dapatkan persetujuan supaya insentif itu boleh dianugerahkan kepada atlet-atlet yang berjaya mengharumkan nama negara.
“Jumlah insentif itu bagaimanapun kita serahkan kepada MSN untuk membuat keputusan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa menyambut ketibaan atlet remaja yang pulang dari temasya CYG 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.
Kontinjen negara menutup tirai temasya itu dengan pencapaian cemerlang selepas meraih satu emas, dua perak dan dua gangsa.
Pingat emas disumbangkan Goh Li Hen dalam acara renang, manakala perak masing-masing menerusi Nur Alyssa Mohd Farid (basikal trek) dan Darwish Putra Muhd Sanusi (basikal trek), sementara gangsa masing-masing oleh Muhammad Hafiq Mohd Jafri (basikal trek) dan Lau New Joe (he) (basikal lebuh raya).
Pencapaian lima pingat secara keseluruhan di CYG 2023 ini sekali gus berhasil menebus kekecewaan edisi 2017 di Bahamas yang menyaksikan Malaysia pulang dengan tangan kosong.