Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menggesa kelompok arkitek tempatan agar memastikan bahawa reka bentuk setiap bangunan baharu dalam negara dilengkapi dengan infrastruktur Internet yang baik.
Beliau berkata, ia selaras dengan keperluan akses rangkaian 5G yang sedia ada di Malaysia.
“Saya percaya banyak bangunan baharu, Insya-Allah akan menjadi lebih lengkap, kita kini sudah ada 5G, jadi banyak struktur ini perlu ditapis supaya kita dapat memanfaatkan sepenuhnya internet terpantas yang kita ada.
“Ini penting kerana sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai internet, selalunya saya yang akan dipersalahkan oleh Ahli Parlimen yang lain – kenapa ada beberapa bangunan tiada Internet, ia sebenarnya adalah sesuatu yang perlu kita pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menutup Program Merdeka Hujung Minggu Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), hari ini.
Turut hadir ialah Presiden PAM, Abu Zarim Abu Bakar dan Ketua pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.