Penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan atas nama dan lambang parti politik sebaliknya perlu disalurkan atas nama kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu mematuhi etika berkempen dan menghormati peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Etika kempen dan juga penyaluran bantuan kerajaan kita dah pastikan, saya dah bincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya pastikan tidak ada pelanggaran. Kami hormat peraturan yang ditetapkan SPR.
“Seterusnya perkara kedua, ada berbangkit tentang bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat, lambang parti tidak boleh digunakan.
“Ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dulu dan ada juga satu dua (isu) yang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan dan arahan kita ini tidak boleh. Bantuan kerajaan perlu disalur atas nama kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bersama warga Pulai pada majlis kenduri rakyat di Dataran Taman Dahlia di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fauziah Salleh.
Setelah itu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Ar-Rahman, Taman Dahlia, Kempas, hari ini.
Anwar bersama kira-kira 1,200 jemaah mendengar khutbah yang bertajuk ‘Hindari Dari Ajaran Menyeleweng’ yang disampaikan Imam Masjid Ar-Rahman Aidi Salman, manakala Azan dialunkan Bilal Mohd Asraf Hairan.
Anwar yang tiba kira-kira jam 1.15 petang itu disambut pengurusan masjid, dan meluangkan masa sebentar bersalaman dengan jemaah, sebelum menunaikan solat sunat.
Turut solat Jumaat bersama beliau, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
Turut hadir calon Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.
Anwar sebelum itu, dalam lawatan kerja sehari ke Parlimen Pulai dan bandaraya Iskandar Puteri hari ini, meluangkan masa menikmati sajian makan tengah hari bersama pengunjung di Medan Selera Taman Cempaka.
Anwar dihidangkan makanan popular Johor iaitu asam pedas ikan merah selain kerabu pucuk paku, daging masak kicap, ayam goreng, telur masin, ulaman dan sambal belacan.