Malaysia pasang 4 lagi sistem GWMS di perairan negara – MOSTI

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) merancang untuk memasang empat lagi Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) di perairan negara bagi memantau aras keradioaktifan secara ‘real time’ atau masa nyata.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ia susulan pelepasan air radioaktif yang dirawat daripada loji kuasa nuklear Fukushima Daaiichi ke Lautan Pasifik oleh Jepun dan ketika ini, alat itu sudah dipasang di perairan Sabah sebagai pengesanan amaran awal.

“Apa yang berlaku di Jepun iaitu pelepasan (air radioaktif) memang kami ambil berat dan di bawah Mosti, kita ada Jabatan Tenaga Atom yang selalu memantau malah kita turut mempunyai satu sistem iaitu GSWMS bagi mengesan dan memantau jika terdapat bahan radioaktif dalam perairan negara.

“Ia melakukan pemantauan 24 jam sehari dan jika terdapat kehadiran bahan radioaktif, kita akan dapat tahu lebih awal…kami juga merancang untuk pasang empat lagi unit di perairan negara dan sekarang ini tengah kenal pasti untuk tetapkan lokasi pemasangannya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penganjuran STEM Showcase 2023 sempena Minggu Sains Negara (MSN) 2023 peringkat Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Katanya, data yang diperoleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) setakat ini menunjukkan, air dilepaskan itu berada pada tahap yang selamat.

Chang berkata, pihaknya prihatin dengan kebimbangan rakyat negara ini dan selain Malaysia, Singapura dan Vietnam turut memasang GSWMS.

“Pada masa ini, tidak ada sebarang sisa radioaktif dikesan di perairan negara, sekiranya ada tahap radioaktif yang tidak normal kita akan tahu dengan adanya GSWMS,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Jepun mula melepaskan air radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat pelbagai pihak.

Beberapa negara termasuk China dan Hong Kong turut mengenakan sekatan terhadap import makanan laut dari negara matahari terbit itu.

Bagaimanapun, Jepun kekal dengan pendiriannya dan menyifatkan tindakan melepaskan air itu adalah selamat.

Anda Mungkin Berminat