Harimau Muda tetap layak ke Piala Asia di Qatar

Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara tetap akan ke Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan selepas muncul naib juara kumpulan keempat terbaik.

Malaysia layak sebagai salah satu daripada empat pasukan di tangga kedua terbaik selepas muncul naib juara Kumpulan H dengan dua kemenangan.

Skuad kendalian E Elavarasan itu menjadi pasukan terakhir layak selaku naib juara terbaik bersama Kuwait, Tajikistan dan China.

Ia adalah penampilan ketiga skuad negara di Piala Asia B-23 selepas melakukannya pada tahun 2018 dan 2022.

Terdahulu Harimau Muda terpaksa memilih jalan sukar selepas tewas 1-0 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara sekadar menamatkan kedudukan di tangga kedua kumpulan, sekali gus menobatkan Thailand selaku juara kumpulan dan layak secara automatik ke pusingan akhir tahun depan.

Kejohanan Piala Asia B-23 akan berlangsung di Qatar pada 15 April sehingga 3 Mei tahun depan.