KPM siap siaga hadapi musim tengkujuh – Fadhlina

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat persiapan untuk semua sekolah menghadapi kemungkinan musim banjir menjelang hujung tahun ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata KPM sentiasa berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan bekerjasama dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“KPM sentiasa bersedia untuk menghadapi banjir kerana ini adalah tanggungjawab dan rutin kita.

“Jawatankuasa penyelaras juga sudah berbincang dan Pusat Pantauan Banjir juga sudah bersedia menghadapi musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Aceh di Nibong Tebal, hari ini.

Fadhlina berkata, KPM sudah menyiapkan sebahagian besar mekanisme yang diperlukan termasuk sekolah-sekolah yang akan terlibat sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diperlukan.

Semalam, Perak, Sabah dan Sarawak telah dilanda banjir melibatkan ratusan mangsa terpaksa dipindah ke PPS.

Pada hantaran di Facebook miliknya, Fadhlina menyatakan penghargaan kepada pihak sekolah (SK Sungai Aceh) dan Farm Fresh Berhad di atas kewujudan Pusat Multidimensi di sekolah berkenaan.

“Syabas dan tahniah kepada SK Sungai Acheh dan pihak Farm Fresh Berhad kerana mengambil langkah inisiatif yang selari dengan konsep Malaysia Madani di mana tata kelola yang baik dan berintegriti adalah instrumen penting untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Tidak ketinggalan juga kepada beberapa rakan strategik yang menjadi penyumbang dan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan majlis yang dianjurkan ini,” katanya.

Beliau juga optimis dengan adanya Pusat Multidimensi, ianya akan memberikan manfaat kepada pelajar yang berpotensi dalam akademik untuk mendapatkan kelas bimbingan, makanan menu sihat dan susu percuma tajaan Farm Fresh.

Anda Mungkin Berminat