Tangisan kegembiraan ratu wushu negara Tan Cheong Min, mengiringi kilauan dua pingat perak dan empat gangsa yang menceriakan kontinjen Malaysia ke Sukan Asia, selepas dua hari menantikan pingat di bumi Hangzhou, China.
Cheong Min yang pernah berada pada tahap terbawah dalam kariernya setelah terlepas pingat pada Sukan Asia 2018 dan tewas kepada rakan lebih muda di Sukan Malaysia (Sukma) selepas itu, akhirnya meluahkan semua bebannya dengan titisan air mata, selepas merangkul perak acara nanquan dan nandao wanita.
Beliau berkongsi bahawa banyak perkara yang telah dilaluinya selama lima tahun ini, termasuk menangis kekecewaan, kecederaan dan pengambilan suntikan platelet-rich plasma (PRP), yang akhirnya membuahkan hasil.
Sementara itu, pasukan negara bagi permainan Arena of Valor juga mencipta sejarah sebagai pemenang pingat perak sulung e-sukan di Sukan Asia, selepas tewas kepada pasukan pilihan China, pada pentas final.
Ini merupakan kali pertama e-sukan dipertandingkan sebagai acara berpingat di pentas Sukan Asia, dengan impian untuk menyertai Olimpik selepas ini.
Terdahulu, kontinjen Malaysia mengesahkan pingat pertama, apabila pelayar Asnawi Iqbal Adam raih gangsa acara ILCA 4 lelaki di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, sebelum Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen, menambah koleksi gangsa dalam acara Windsurfing RSX wanita.
Namun, kedua-dua gangsa daripada pelayaran hanya akan dikira secara rasmi dalam kutipan pingat keseluruhan, selepas upacara penyampaian pingat petang esok.
Sementara itu, Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi, daripada berbasikal trek mencipta kejayaan membanggakan, apabila meraih pingat sulung Malaysia dalam acara pecut berpasukan wanita, sejak ia mula dipertandingkan pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Trio baharu lelaki Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, yang turun tanpa jaguh berbasikal Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang membantu meraih perak pada acara pecut berpasukan di edisi 2018, hanya memenangi gangsa pada temasya kali ini.
Selepas merasai pingat perak dan gangsa, kontinjen negara hampir pasti merasai kilauan emas yang dinanti-nantikan, esok, menerusi Nur Shazrin Mohamad Latif yang bakal turun beraksi dalam perlumbaan ke-12 dan terakhir acara ILCA 6 wanita esok.
Pelayar berusia 25 tahun itu, yang berada di kedudukan teratas dengan kelebihan 12 mata, tidak berdepan masalah untuk menukar warna pingat gangsa dimenangi di Jakarta-Palembang 2018 kepada emas, jika mampu berada dalam kedudukan lima teratas dan elakkan kesilapan besar.
Atlet negara juga akan turun beraksi dalam ekuestrian, dengan Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil cuba mempertahankan perak acara dressage, selain cabaran di arena wushu, menembak, berbasikal trek, renang dan bola keranjang.