Membudayakan amalan berbahas atau berdebat secara beradab adalah satu keperluan buat golongan muda ketika ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata ini penting kerana perdebatan secara beradab akan membantu anak muda melontarkan idea bernas dan jelas yang amat bermanfaat untuk pembangunan negara.
“Selain itu, ia penting untuk kesinambungan budaya demokrasi berparlimen dalam negara, jadi saya harap acara seperti ini dapat menjadi pencetus semangat untuk meneruskan budaya (demokrasi),” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian anugerah bagi Kejohanan Debat Parlimen British Asia (ABP) 2023 di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, di Malaysia sudah wujud beberapa platfrom untuk anak muda melontarkan idea dengan hujah bernas berkaitan pembangunan negara antaranya Parlimen Belia Malaysia dan Pidato Perpaduan.