Nasional

Kastam gagalkan cubaan seludup dadah bernilai RM2 juta dalam bungkusan teh di KLIA

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 61 kilogram (kg) dadah bernilai kira-kira RM2 juta di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, sepasukan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit lll (LTAKL) telah menjumpai dadah yang disorokkan dalam tiga bungkusan yang diikrarkan sebagai alat ganti kenderaan, pada 5 September lepas.

Beliau berkata, terdapat tulisan ‘refined chinese tea’ dan beberapa tulisan lain dalam bahasa Mandarin pada bungkusan terbabit yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal.

“Modus operandi adalah dengan cara mengikrar bungkusan sebagai alat ganti kenderaan dan menyembunyikan dadah dalam paket plastik teh bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya sambil menambah siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.

Wong berkata, siasatan awal mendapati bungkusan berkenaan akan dihantar ke alamat penerima di Kota Kinabalu, Sabah.

Tambahnya, dengan rampasan itu pihaknya percaya berjaya membanteras pengedaran dadah itu kepada 305,000 orang penagih.

Jelasnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Susulan itu, JKDM menyeru orang ramai membantu agensi itu memerangi aktiviti penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” kata Wong.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close