Sejarah baharu tercipta di bumi China selepas jaguh ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil membanggakan negara apabila memenangi pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou dalam acara dressage individu di Pusat Ekuestrian Tonglu semalam.
Ia adalah pingat emas pertama Malaysia bagi sukan ekuestrian dalam sejarah penganjuran Sukan Asia sejak acara itu mula diperkenalkan pada edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan.
Sementara itu,Qabil mengakui kejayaan cemerlang dilakar pada temasya kali ini lebih bermakna dengan sokongan padu daripada ahli keluarga.
“Kemenangan ini adalah hadiah buat keluarga dan anak-anak.
“Ini merupakan penyertaan Sukan Asia terbaik yang pernah saya sertai. Saya tidak akan melupakannya,” katanya.
Beliau juga menganggap keputusan tidak menggunakan kuda baru sebaliknya kekal dengan kuda lama adalah tepat.
Persembahan Qabil, 43, bersama kudanya, Rosenstolz dalam peringkat akhir Intermediate I Freestyle itu dilihat begitu sempurna sehingga menyaksikan para juri terpesona dan memberikan 75.780 mata.
Ia membolehkan Qabil melonjak ke tangga teratas dan menewaskan pemenang pingat perak dari Hong Kong, Jacqueline Wing Ying Siu yang meraih 73.450 mata.
Kejayaan itu sekali gus menebus kekecewaan Qabil yang sebelum ini terpaksa akur meraih perak apabila tewas kepada Jacqueline sewaktu final acara sama pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Pingat gangsa pula menjadi milik atlet India, Anush Agarwalla yang meraih 73.030 mata.
Secara keseluruhan, ini adalah pingat emas kedua kontinjen Malaysia di bumi Hangzhou selepas meraih emas pertama menerusi pelayar sensasi wanita, Nur Shazrin Mohammad Latif dalam acara ILCA 6 kelmarin.