Sukan

Sukan Asia: Azeem pelari pecut ketiga terpantas di Asia

Pelari pecut sensasi Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mempamerkan larian hebat untuk meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki di Stadium Olimpik Hangzhou di China, semalam.

Pencapaian Muhammad Azeem memenangi pingat sulungnya di peringkat antarabangsa juga menoktahkan penantian lebih empat dekad negara untuk penyudah podium dalam acara utama atau reben biru sejak Datuk Rabuan Pit memperoleh emas dalam edisi 1982 di New Delhi, India.

Pelari berusia 19 tahun itu memastikan tempatnya di podium dengan mencatatkan masa 10.11 saat (s), hanya 0.02 saat perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya, iaitu 10.09s yang dicipta semasa Kejohanan Olahraga Dunia Bawah-20 di Cali, Colombia.

Atlet China, Xie Zhenye menyamai rekod peribadi terbaiknya iaitu 9.97s untuk memperoleh emas, sementara wakil Thailand Puripol Boonson juga melakukanya dengan baik dengan masa 10.02s untuk perak selepas rakan senegara Soraoat Dapbang terdahulu tersingkir kerana mula palsu.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka akan berada di atas podium malam ini kerana saya tahu ia akan menjadi perlumbaan yang sengit.

“Semua finalis lari bawah catatan masa 10.20s, ini sebenarnya satu daripada perlumbaan terpantas di Sukan Asia kerana setiap orang layak ke final dengan rekod musim dan peribadi terbaik mereka.

“Pingat malam ini sangat bermakna bagi saya, walaupun ianya gangsa… ini adalah hadiah kepada ibu bapa saya (Mohd Fahmi Tajuid and Norazah Ibrahim), di mana saya berjanji akan cuba sehabis baik untuk sampaikan pingat kepada mereka kerana ini pertandingan terakhir saya bagi tahun ini.

“Alhamdulillah, saya dapat kotakan janji saya. Ini adalah penutup terbaik musim ini,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Selepas mengecapi kejayaan sulungnya malam ini, Muhammad Azeem yang bertanding di temasya sukan benua ini buat julung kalinya akan bertanding dalam acara lari berganti-ganti 4x100m Selasa ini.

Muhammad Azeem mara ke final 100m lelaki selepas mencatat masa 10.17s dalam separuh akhir pertama di belakang Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia yang mencatat 10.12s.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close