PM Thailand lawat Malaysia minggu hadapan bagi perdalam kerjasama

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu depan untuk membincangkan cara memperluaskan kerjasama antara kedua-dua negara.

Malaysia adalah destinasi ketiga dalam lawatan lima hari dari 8 hingga 12 Oktober untuk Srettha, yang memegang jawatan bulan lepas.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand berkata, Srettha akan melakukan lawatan rasmi ke Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) dan tiga negara ASEAN termasuk Malaysia untuk memajukan pelbagai kerjasama yang saling menguntungkan, terutamanya dalam bidang yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Thailand.

“Pada 11 Oktober, Srettha dijadualkan untuk bertemu rakan sejawatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan cara-cara memperluaskan kerjasama antara Thailand dan Malaysia, termasuk perdagangan dan pelaburan, keselamatan dan pembangunan sempadan merangkumi wilayah sempadan selatan Thailand dan negeri-negeri utara Malaysia,” katanya.

Pada 2022, Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar Thailand dalam ASEAN dan menduduki tempat keempat secara global.

Jumlah nilai perdagangan pula berjumlah lebih US$27 bilion (US$1=RM4.71).

Malaysia juga merupakan pelabur kedua terbesar di Thailand dalam ASEAN dan menduduki tempat kesembilan di peringkat global.

Memulakan lawatan rasminya, Kementerian Luar berkata Srettha dijadualkan bertemu dengan Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee Ka-Chiu untuk mengukuhkan kerjasama perdagangan dan pelaburan pada 9 Okt.

“Beliau juga dijadual bertemu dengan wakil terkemuka sektor swasta Hong Kong untuk membincangkan peluang pelaburan di Thailand,” katanya.

Pada 10 Oktober, Srettha akan pergi ke Brunei di mana beliau akan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, yang merupakan pemimpin paling kanan di ASEAN untuk membincangkan cara memperluaskan kerjasama dua hala antara Thailand dan Brunei Darussalam.

Pada 2022, perdagangan antara Thailand dan Brunei bernilai US$790 juta mencerminkan pertumbuhan 29 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kementerian Luar berkata Srettha dan rakan sejawatan Singapura Lee Hsien Loong akan bertemu pada 12 Oktober untuk membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.

“Beliau (Srettha) juga akan bertemu dengan syarikat terkemuka Singapura untuk menggalakkan pelaburan di Thailand,” katanya. – Bernama

Anda Mungkin Berminat