Hiburan

Kuching, Sarawak jadi pilihan Yuna adakan Konsert Asia Tour 27 Oktober ini

Penyanyi lagu ‘Terukir di Bintang’ mengumumkan bandar Kuching, Sarawak sebagai destinasi persinggahan konsert jelajahnya, Yuna Asia Tour pada 27 Oktober ini.

Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan media dan nyata ia khabar gembira buat peminat Yuna khususnya di Bumi Kenyalang dan Borneo.

Malah, ia bagaikan memecah tradisi konsert jelajah artis antarabangsa yang sering memilih Kuala Lumpur, sebagai lokasi pilihan mereka.

Mungkin ini cara penyanyi yang menempa nama di Amerika Syarikat itu, untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya, iaitu sejak zaman MySpace sehingga dipilih maestro muzik, David Foster untuk bernaung di bawah Verve Music Group.

Penganjuran konsert ini juga tepat pada masanya bagi Yuna untuk bersua dengan peminat di tanah air usai pelancaran album kelimanya Y5, baru-baru ini.

Sementara itu, Yuna Asia Tour di Kuching, Sarawak akan berlangsung di Hikmah Exchange dan tiket sudah mula dijual pada harga RM259, RM299 dan RM349.

Mengulas pemilihan lokasi acara, pihak penganjur memaklumkan, mereka yakin Yuna mempunyai ‘kuasa’ untuk menarik peminat untuk sama-sama berhibur di konsert itu.

“Dengan imej dan ‘kuasa’ Yuna, di mana pun lokasi persembahannya ia pasti akan mendapat sambutan luar biasa.

“Ini Yuna, seperti istimewanya wanita yang berhati besar membawa jauh karya-karyanya mengembara ke pelbagai pelusuk dunia, kami di RK LiveAsia dan Icon Entertainment percaya Kuching akan menyaksikan sebuah persembahan spektakular daripada beliau.

“‘Save the date guys’, 27 Oktober 2023. ‘See you guys soon’,” ujar Iman Tang dan Rahul selaku penganjur.

Yuna Asia Tour dijangka mencipta momen tersendiri antara penyanyi kesayangan ramai ini dengan peminatnya sekian lama menantikan persembahan konsertnya.

Penganjur turut memberi jaminan bintang berusia 36 tahun ini tidak akan mengecewakan peminatnya apabila bakal mendendangkan lagu-lagu hitnya dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Dapatkan tiket di https://www.ticket2u.com.my/event/32887.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close