Kira-kira 260 juta penduduk atau seorang daripada tujuh individu di Asia Tenggara dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental.
Malah, pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan ramai dalam kalangan golongan itu masih gagal mendapatkan rawatan tepat pada masanya.
Penasihat serantau WHO bagi kesihatan mental di Asia Tenggara, Dr. Andrea Bruni berkata, masalah kesihatan mental sangat berleluasa di rantau tersebut.
Katanya, wujudnya jurang besar dalam rawatan masalah kesihatan mental.
“Di beberapa negara, jurang rawatannya adalah besar mencecah setinggi 90 peratus.
“Ini bermakna kira-kira 90 peratus daripada golongan mengalami masalah kesihatan mental gagal mendapat rawatan dan penjagaan yang tepat pada masanya atau tidak menerima kedua-duanya langsung,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Channel News Asia sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023.
Sementara itu, Andrea mengakui stigma mengenai masalah kesihatan mental juga masih berleluasa di Asia Tenggara.
“Secara lazimnya, stigma ini diterjemahkan kepada diskriminasi individu mengalami kondisi berkenaan.
“Malah, stigma amat ketara bagi golongan mempunyai masalah kesihatan mental yang serius,” katanya.
Tambah beliau, mitos umum yang tersebar luas di rantau ini adalah individu mengalami masalah demikian perlu menerima rawatan, penjagaan dan sokongan di institusi kesihatan mental, hospital psikiatri dan pusat suaka.