Salah gesa perang Israel-Palestin dihentikan, bantuan dibenarkan masuk ke Gaza

Bintang bola sepak Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah menggesa bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza.

Dalam sebuah video yang diciap di platform X, pemain bola sepak ternama dunia itu merayu supaya ‘pembunuhan beramai-ramai’ dalam konflik antara Israel dan kumpulan militan Palestin, Hamas ditamatkan segera.

Penduduk Gaza menghadapi kekurangan bekalan dan bantuan kerana wilayah itu ditutup berikutan serangan pada 7 Oktober oleh militan Hamas ke atas komuniti Israel dan pos tentera.

Kelmarin, serangan roket maut diarahkan ke hospital Gaza yang dipersalahkan Hamas ke atas Israel.

Bagaimanapun Israel menafikan bertanggungjawab, mendakwa serangan itu disebabkan oleh roket sesat yang dilepaskan oleh militan Palestin.

“Bukan mudah sebenarnya untuk bercakap dalam masa seperti ini. Terdapat terlalu banyak keganasan dan terlalu banyak kesedihan serta kekejaman,” kata Salah dalam video yang disiarkan kepada 62.7 juta pengikutnya di laman Instagram.

“Peningkatan (serangan) dalam beberapa minggu kebelakangan ini amat berat untuk disaksikan. Setiap nyawa adalah suci dan mesti dilindungi. Pembunuhan beramai-ramai perlu dihentikan, keluarga sedang berpecah-belah.”

Selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ke Tel Aviv semalam, Israel berkata ia bersetuju dengan permintaan beliau untuk membenarkan bantuan ke Gaza yang terkepung melalui Mesir berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai bekalan yang semakin berkurangan dan amaran mengenai bencana kemanusiaan.

“Apa yang jelas sekarang bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti dibenarkan serta-merta. Penduduk di sana dalam keadaan yang amat teruk,” kata Salah.

“Keadaan di hospital malam tadi amat mengerikan. Penduduk Gaza memerlukan makanan, air dan bantuan perubatan segera.

“Saya menyeru pemimpin dunia untuk bersama-sama mencegah pembunuhan jiwa yang tidak bersalah – kemanusiaan mesti diutamakan.” – AFP

Anda Mungkin Berminat