PM gesa akhiri penindasan terhadap rakyat Palestin

Para pemimpin ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berhimpun buat julung kalinya di sidang kemuncak bersejarah kedua-dua blok di sini pada Jumaat, yang menyaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat antarabangsa agar menoktahkan layanan kejam serta sikap hipokrasi secara terang-terangan terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa tidak lagi boleh menutup mata terhadap kekejaman itu dan mesti mengambil tindakan untuk menangani punca konflik Palestin-Israel.

“Tanpa pengecualian, hak asasi manusia perlu dilindungi dan undang-undang antarabangsa harus ditegakkan. Rakyat Palestin berhak mendapatkan semula tanah, kediaman dan harta mereka.

“Mereka harus dibenarkan hidup secara aman serta bermaruah di negara berdaulat dengan sempadan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa berdasarkan perjanjian pra-1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka,” katanya dalam ucapan pada sidang kemuncak itu di Riyadh.

Anwar berkata, dalam masa yang begitu mencabar ini dengan krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku serta boleh merebak menjadi konflik serantau dan dunia, Malaysia berharap semua negara akan bersama-sama berusaha mencari penyelesaian berkekalan serta adil berhubung konflik itu.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutama lima anggota tetapnya iaitu Amerika Syarikat, China, Perancis, Rusia dan United Kingdom akan memainkan peranan masing-masing sebagai broker keamanan yang jujur.

“Ini adalah masanya untuk dunia bersatu,” kata beliau.

Anwar berkata, Malaysia amat terkesan dan sedih dengan jumlah kematian orang awam yang begitu tinggi susulan peningkatan pertempuran di Semenanjung Gaza dan kawasan sekitarnya.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan pengeboman Israel yang tidak berperikemanusiaan di Gaza serta sekatan terhadap barangan asas dan keperluan kepada mangsa yang memerlukan sehingga menyebabkan nyawa ramai rakyat Palestin dalam bahaya,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, justeru terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan koridor kemanusiaan bagi menghantar bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Anwar berkata, Malaysia bersedia menyertai usaha antarabangsa dalam menyerahkan bantuan kemanusiaan dan bekalan barangan keperluan.

Sementara itu, Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengulangi sokongan kerajaan negara berkenaan terhadap usaha yang dilakukan ke arah mencapai penyelesaian adil terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Dalam ucapan perasmian, Mohammed bertitah, bahawa baginda amat dukacita dengan peningkatan keganasan di Gaza yang menyaksikan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa.

Presiden Indonesia Joko Widodo, yang mengetuai 10 negara anggota ASEAN tahun ini, dalam ucapan beliau turut menggesa agar keganasan di Gaza dihentikan selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Jokowi mempengerusikan sidang kemuncak itu bersama Mohammed.

Anwar diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada sidang kemuncak itu.

Sidang kemuncak pertama ASEAN-GCC bersejarah itu menghimpunkan dua blok penting yang terdiri daripada 10 negara anggota ASEAN serta enam negara anggota GCC iaitu Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman.

Pemerintah Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr; Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet adalah antara pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak itu.

Hubungan ASEAN-GCC bermula pada 1990 dan telah berkembang selepas itu apabila kedua-dua pihak menyedari akan potensi besar dalam langkah meluaskan perdagangan serta strategi geopolitik.

Selain konflik Palestin-Israel, sidang kemuncak itu dijangka membincangkan pelbagai topik penting terutama yang memfokus kepada perdagangan, tenaga dan ekonomi selain langkah memperkukuh hubungan kedua-dua pihak.

Sidang kemuncak itu juga dijangka menerima pakai pelan tindakan yang komprehensif bermula dari 2024 hingga 2028, merangkumi bidang kerjasama substantif.

Ini termasuk peningkatan kerjasama dalam sektor tenaga, pertukaran teknologi berkaitan karbon rendah, memperkasa kerjasama dalam bidang kewangan dan perbankan serta pembangunan piawaian pensijilan halal.

Nilai perdagangan antara negara-negara anggota ASEAN kini berjumlah lebih AS$110 bilion. – Bernama

Anda Mungkin Berminat