2 remaja lelaki ditahan rakam, sebar video rakan 13 tahun mandi

Dua remaja berumur 16 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan memiliki dan mengedar video membabitkan seorang rakan perempuan mereka sedang mandi dalam satu kejadian di Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata, suspek ditahan pada Sabtu selepas mangsa berumur 13 tahun membuat laporan polis.

“Pengadu mendakwa salah seorang suspek memberitahu mempunyai video dirinya sedang mandi dan meminta bayaran RM50 jika mahu video tersebut.

“Pengadu turut mendakwa video itu disebarkan oleh seorang lagi suspek, kerana ia dibuat semasa mereka berhubung menerusi panggilan video pada Mei lepas,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Wan Mohd Zahari berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, kerana memiliki video lucah yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.