Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam tindakan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Isreal kepada penduduk Gaza sekali gus mengkritik sikap ‘munafik’ pemimpin barat yang berulang kali gagal menghalang tindakan pencerobohan tentera zionis.
Keadaan itu sama seperti konflik antara Rusia dan Ukraine.
Bercakap kepada media antarabangsa, Arab News ketika Sidang Kemuncak GCC-ASEAN di Riyadh, Anwar menyifatkan konflik di Timur Tengah itu sebagai kecenderungan untuk ‘percanggahan dan penafian hak sama kepada orang lain.
“Seorang pelajar yang baik dalam sejarah dan geopolitik tidak terkejut apabila mengetahui terdapat begitu banyak percanggahan dan kepura-puraan dalam arena politik antarabangsa.
“Sebagai contoh, pemimpin barat mengutuk Rusia atas keputusan negara itu untuk mengambil alih wilayah Rusia di Ukraine. Hal itu adil untuk dikritik. Tetapi pencerobohan Israel mengambil alih tanah sah rakyat Palestin, itu mereka dibenarkan.
“Bukan itu sahaja (pencerobohan) disokong dan dipertahankan oleh mereka. Oleh itu kita mesti saling bergabung dan bersama untuk menghentikan perkara sebegini (penindasan penduduk Palestin) terus berlaku, ” jelasnya dalam satu kenyataan di Arab News pada hari Jumaat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut bersetuju dengan pendirian tegas, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman yang mengutuk keras tindakan Isreal menindas rakyat Palestin di Gaza atas dasar kemanusiaan.
“Malaysia dan GCC akan berada di belakang Arab Saudi dalam mengepalai isu ini. Dilihatlah kesan luar biasa yang akan berlaku sekiranya Arab Saudi mengetuai perkara ini,” jelasnya.
Anwar berkata Malaysia akan memberi sokongan penuh kepada usaha Arab Saudi dan GCC untuk menamatkan pertempuran dan mencegah tercetusnya perang yang lebih luas.
Pada masa sama, beliau menyeru semua negara untuk bersama-sama mencari penyelesaian yang berpanjangan dan adil bagi mengelakkan keadaan daripada menjadi krisis kemanusiaan sehingga boleh meluas menjadi konflik serantau dan seterusnya global.
“Rakyat Palestin mesti dikembalikan tanah, rumah dan harta mereka. Mereka mesti dibenarkan hidup dalam aman dan bermaruah di negara berdaulat mereka sendiri di sempadan yang diiktiraf antarabangsa, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” tegas Anwar. – Agensi