Negeri

Orang asli Kuala Tahan dapat klinik kesihatan baharu

Sebuah klinik kesihatan baharu bakal dibina di Kuala Tahan, Jerantu, Pahang sekali gus memberi manfaat kepada lebih 16,000 penduduk termasuk orang asli bagi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan selesa.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata, klinik kesihatan jenis itu akan dilengkapi perkhidmatan imbasan X-ray akan bangunkan di kawasan seluas 2.38 hektar berhampiran Sungai Tembeling.

“Sebelum ini kami (Jabatan Kesihatan Negeri Pahang) telah membuat permohonan untuk membangunkan klinik baharu di kawasan itu (Kuala Tahan), dan bersyukur apabila perancangan itu diluluskan dalam Belanjawan 2024,” katanya.

Tambahnya, klinik kesihatan itu akan menggantikan klinik kesihatan sedia ada di kawasan berkenaan yang kini berusia 43 tahun selain berada dalam keadaan daif dan uzur.

Menurut Dr Nor Azimi, sudah tiba masanya klinik berkenaan diganti bagi memastikan penduduk menerima perkhidmatan kesihatan terbaik termasuk petugas dapat bekerja dalam keadaan lebih selesa.

Klinik kesihatan baharu di Kuala Tahan itu antara lima klinik kesihatan yang akan dibina menerusi membentangkan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 13 Oktober lalu.

Empat klinik kesihatan lain yang akan dibina antaranya ialah di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah yang kesemuanya melibatkan kos RM150 juta.

Sementara itu, anak jati Kuala Tahan, Siti Nur Suhada Suhami, 24, berkata usaha kerajaan untuk membina pusat kesihatan baharu amat dihargai dan tepat pada masanya memandangkan klinik sedia ada mempunyai ruang agak sempit untuk menampung bilangan pesakit.

“Bilangan pesakit semakin ramai dan lokasi klinik lama berhampiran sekolah juga tidak lagi sesuai… semoga klinik baharu nanti dapat memudahkan urusan kami di kawasan ini menerima rawatan,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close