Bayar RM1,000 lulus ujian memandu, pasangan suami isteri ditahan

Pasangan suami isteri yang juga terbabit sebagai pengurusan pentadbiran dan pengurus pemasaran sebuah pusat latihan memandu ditahan ekoran disyaki menerima rasuah untuk membantu calon lulus ujian berkomputer bagi lesen memandu.

Penahanan mereka susulan tangkapan tiga wanita kelmarin termasuk pegawai khidmat pelanggan di Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan (Rilek) Cawangan Kota Tinggi, yang didakwa terbabit kes sama.

Difahamkan, nilai sogokan antara RM400 hingga RM1,000, dibayar individu yang mahu lulus ujian memandu tanpa perlu kelas atau menduduki ujian.

Keseluruhan lima individu ditahan berkait kes sama, dipercayai daripada sekolah memandu yang berbeza.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Azmi turut mengingatkan setiap calon wajib menduduki ujian ditetapkan sebagai syarat untuk mendapatkan lesen memandu selain mempelajari serta memahami undang-undang jalan raya, agar menjadi masyarakat berilmu ketika di jalan raya.

“Syarikat yang mengendalikan ujian berkomputer juga perlu memastikan bahawa setiap calon yang menduduki ujian berkenaan hadir dan tidak diwakili mana-mana individu lain dan tiada jalan pintas dalam mendapatkan lesen memandu, kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Semalam media melaporkan tiga wanita ditahan dipercayai menerima rasuah bagi membantu calon lulus ujian berkomputer bagi mendapatkan lesen memandu tahun ini.

Ketiga-tiganya dilaporkan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas diambil keterangan. – Harian Metro