Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap langkah awal untuk Malaysia dan beberapa negara Asia berdagang tanpa menggunakan mata wang dolar AS sudah “berjaya”.
Dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan mahasiswa dan rakyat Malaysia yang berada di Kaherah, Mesir semalam, perdana menteri berkata, langkah tersebut dimulai dengan rundingan awal Putrajaya dengan Beijing, Jakarta dan Bangkok.
“Malaysia berjaya dalam rundingan bersama China, Indonesia dan Thailand untuk menggunakan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan agar kedudukan dan kekuatan ringgit dapat kembali kuat dan mengukuh,” katanya.
Penyusutan nilai ringgit Malaysia pada kadar paling rendah baru-baru ini menjadi antara isu yang menyebabkan kegelisahan ramai.
Bagaimanapun pola penyusutan mata wang berbanding dolar AS itu tidak hanya membabitkan ringgit sebaliknya turut dialami mata wang negara lain.
Anwar dalam kenyataannya yakin, dengan menggunakan mata wang tempatan dalam urusan dagangan dengan negara luar , ia akan mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada dolar AS.
“Kedudukan ringgit kini tercabar dan parah akibat tindakan Bank Pusat AS yang secara agresif meningkatkan kadar faedah yang turut mengesankan mata wang renminbi China dan yen Jepun.
“Namun, langkah permulaan yang tegas telah diambil yakni Malaysia mesti bergerak ke arah pendolarisasi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia sudah menandatangani rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan dengan Thailand dan Indonesia bagi menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan
Malaysia juga antara pertama menandatangani perjanjian pengaturan swap mata wang dengan China bagi penggunaan yuan dan ringgit untuk penyelesaian perdagangan dan pelaburan membabitkan kedua-dua negara.