Jenazah Allahyarham Bad Indigo akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, Petaling, selepas solat Jumaat.
Keluarga Allahyarham dalam kenyataan memaklumkan, jenazah dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, pada Khamis.
Bad atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah meninggal dunia di tempat kerja iaitu bengkel kereta Reiber Auto di Ampang, pada jam 7.30 malam, Khamis.
Sementara itu, pemilik Reiber Auto yang dikenali sebagai Wanohar mengumumkan bengkel kereta berkenaan ditutup buat sementara waktu bagi memberi penghormatan buat Allahyarham Bad.
Sebelum ini, Allahyarham Bad yang menghidap kencing manis menjalani pembedahan membuang tiga jari kaki pada 9 Mei tahun lalu sebelum semua jari kakinya terpaksa dipotong beberapa bulan kemudian.
Allahyarham Bad kemudian terpaksa menggunakan bantuan alat ‘walker’ dan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan. – BH