Negeri

Remaja dakwa jadi mangsa dera, cabul penjaga lelaki di pusat jagaan

Dua penghuni perempuan sebuah pusat jagaan di Lembah Jaya, Ampang, mendakwa menjadi mangsa dera dan cabul oleh penjaga lelaki dalam kejadian berasingan, minggu lalu.

Kejadian menjijikkan itu diketahui selepas remaja perempuan masing-masing berusia 13 dan 14 tahun itu menceritakan kejadian kepada terbabit kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mangsa kemudian dibawa ke balai polis pada Khamis untuk membuat laporan.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, dalam satu kenyataan, berdasarkan laporan kejadian pertama berlaku pada 1 pagi, 20 Oktober lalu.

“Pelajar tingkatan satu mendakwa ditarik seorang lelaki yang juga sukarelawan pusat jagaan itu ke sebuah bilik butik.

“Ketika berada di bilik itu, suspek bertindak mencabul dan cuba merogol mangsa. Namun kejadian disedari rakan suspek yang bertindak menghalang tindakan suspek,” katanya.

Mohd Azam memberitahu, kes kedua berlaku pada 4 petang, 22 Oktober lalu membabitkan pelajar perempuan tingkatan dua yang mendakwa dimarahi seorang penjaga pusat jagaan yang juga lelaki warga asing ketika berada di dalam bilik.

Beliau berkata, mangsa memberitahu dipukul suspek menggunakan kayu di bahagian paha selain turut ditampar.

“Mangsa mendakwa dipukul kerana menggunakan telefon bimbit di dalam bilik,” katanya.

Bertindak atas laporan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan kedua-dua suspek berusia 27 tahun pada 5 petang semalam.

“Semakan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod lampau manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa yang dipukul ada kesan lebam di bahagian paha dan betis kiri serta kesan bengkak di pipi kiri manakala mangsa kedua tiada kesan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close