Kenaikan harga ayam dan telur dijangka akan berlaku dalam tempoh masa terdekat berikutan tiada lagi kawalan harga dan subsidi terhadap kedua-dua barangan tersebut.
Perkara ini berlaku disebabkan apungan harga sekali gus menjejaskan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.
Hal tersebut disuarakan oleh Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff yang turut meluahkan rasa bimbang sekiranya apungan harga kenaikan yang sangat tinggi berlaku.
“Permasalahan dia adalah ada pihak akan ambil kesempatan. Bila kita tengok sebelum ini, apabila diapungkan harga, berlaku pesta kenaikan harga terhadap barangan keperluan ini terutama ayam dan telur yang telah menjadi makanan terhadap golongan B40 dan juga miskin tegar dia banyak makan telur.
“Jadi bila diapungkan harga berlaku kenaikan yang sangat tinggi dan kerajaan perlu mengawal balik harga,” katanya dalam program Fokus Minggu Depan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yusrizal berpendapat apa yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga secara tegas supaya harga tidak naik secara mendadak apabila apungan itu dilakukan kelak.
Pihaknya juga menerima banyak aduan daripada peniaga susulan kenaikan harga beras sebelum ini seterusnya menyebabkan kuasa membeli mula menunjukkan trend penurunan.
“Kita jangkakan peristiwa ini akan berlaku juga sekiranya berlaku pengapungan harga ayam dan telur.
“Peniaga-peniaga industri kecil SME ini akan menaikkan harga makanan mereka,” katanya.
Kenaikan harga ayam dan telur berterusan juga dikhuatiri akan mengakibatkan lebih banyak pengusaha akan menutup perniagaan mereka di masa akan datang.