Nasional

Pancing mangsa dengan harga pakej umrah murah melampau

Tawaran harga murah sehingga tidak masuk akal menjadi taktik dalang penipuan pakej umrah bagi mengaburi mata.

Bagi lebih menyakinkan mangsa, tawaran dibuat pada harga bawah sasaran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) iaitu RM7.890.

Menurut Setiausaha Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan Motac Roslan Mohamad, dianggarkan sekitar 800 hingga 1,000 jemaah diterbangkan ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah setiap hari.

Katanya, ramai mangsa mudah termasuk dalam perangkap penjenayah disebabkan termakan ‘umpan’ potongan harga tambahan selain tawaran pakej umrah bermula pada harga RM5,000.

“Dianggarkan lebih 300,000 umat Islam mengerjakan umrah setiap tahun dan jika jumlah (jemaah) itu dikira berdasarkan harga cadangan (RM7,890) seorang seperti disarankan kementerian, ia bernilai lebih RM2.7 bilion.

“Ia antara industri besar dan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan. Apabila saiz sudah sebesar itu maka ia menarik minat ramai pihak yang akhirnya berlaku banyak penipuan demi mengaut keuntungan.

“IHal ini kerana permintaan (pelanggan) memang sudah sedia ada, umat Islam mahu buat umrah kerana nak pergi haji ada kuota, tetapi umrah sesiapa saja boleh pergi,” katanya.

Keadaan menjadi lebih sulit apabila wujudnya syarikat berdaftar di bawah Tabung Haji (TH) mengambil kesempatan dengan menipu mangsa menerusi ‘taburan’ janji manis sehingga menyebabkan mereka terjebak.

Dalam pada itu, pihaknya terima 189 aduan berhubung kes penipuan pakej umrah setakat September lalu yang mana jumlah itu hampir tiga kali ganda dari jumlah aduan pada 2022.

Peningkatan aduan sebanyak 115 peratus dicatatkan berbanding hanya 74 aduan yang diterima bagi tempoh sama 2022.

“Keseluruhan jumlah kerugian berdasarkan aduan yang diterima adalah kira-kira RM10 juta membabitkan mangsa daripada pelbagai lapisan masyarakat dan penggunaan beberapa modus operandi.

“Pelbagai alasan diberikan termasuk kenaikan kos penginapan dan pengangkutan di Arab Saudi, tetapi apabila kami minta syarikat kemukakan bukti (tempahan, emel, dokumen berkaitan) tidak pernah mereka berikan.

“Tidak mungkin satu industri (perhotelan) antarabangsa tiada surat menyurat jadi saya percaya mereka (syarikat) buat perjanjian dengan pihak ketiga untuk dapatkan penginapan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan tidak bermoral dilakukan syarikat dan individu-individu terbabit.

Sebanyak 235 individu dan syarikat disenarai di bawah pemerhatian kerana melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 dan senarai ini boleh dirujuk di laman web Motac (www.motac.gov.my/semakan) untuk panduan orang ramai ketika berurusan.

Kerajaan juga menubuhkan Majlis Kawal Selia Umrah (MSKU) bagi menangani kes penipuan umrah yang berleluasa. – HMetro.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close