KPKM sedia inisiatif sebagai galakan golongan belia sertai bidang pertanian

Dalam memastikan keterjaminan makanan di negara ini, Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggalakkan lebih ramai golongan belia melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, bagi tujuan itu KPKM akan memberi inisiatif sebagai galakan kepada golongan belia melalui bantuan seperti Agroprenuer Muda.

“Sokongan akan diberikan oleh KPKM kepada golongan muda yang berminat menyertai bidang pertanian.

“Kita akan membimbing mereka (belia) melalui pelbagai jenis program yang bersifat TVET agar mereka memahami kaedah pertanian, perikanan dan sebagainya”, katanya ketika menjadi tetamu selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Isnin.

Sementara itu tambah Fong Hin, selain inisiatif pihaknya juga kini mengadaptasi teknologi ke dalam bidang pertanian sebagai salah satu cara bagi menarik minat belia menceburi bidang berkenaan.

Kementerian menurutnya sedang melihat daripada sudut teknologi iaitu adaptasi teknologi seperti dron,IoT dalam bidang pertanian kerana ia sesuatu yang dapat menarik minat anak muda bagi menceburi bidang tersebut.

Sebagai rekod, Menteri KPKM Datuk Seri Muhamad Sabu pada Febuari lalu berkata, usaha meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian akan menjadi antara fokus utama kementeriannya tahun ini.

Jelasnya, pelbagai geran, dana dan latihan ditawarkan oleh pihak kementerian serta agensinya dalam usaha meremajakan sektor berkenaan.

Anda Mungkin Berminat