Nasional

8 orang graduan IKN terima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia meraikan 115 graduan dalam Majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-21 yang berlangsund di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Khamis.

Istiadat Konvokesyen ini merupakan pengiktirafan ke atas kejayaan graduan yang menamatkan pengajian dalam bidang kraf.

“Bermula 2001 sehingga 2022, Institut Kraf Negara telah melahirkan seramai 2,892 graduan melalui kampus utamanya di Rawang dan empat lagi Kampus Satelit di Inanam dan Kota Belud, Sabah serta Kampus Satelit di Kuching dan Betong, Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,634 orang atau 57 peratus merupakan graduan peringkat diploma manakala 1,210 orang atau 43 peratus graduan peringkat sijil dan 48 orang merupakan graduan peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Kejayaan alumni IKN sebelum ini berjaya menjadi job creator (pencipta pekerjaan) dalam industri kraf dengan membina perniagaan dan membuka peluang pekerjaan kepada individu yang lain,” jelas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Istiadat konvokesyen tersebut memperlihatkan seramai 72 orang graduan daripada Program Diploma Seni Kraf, lapan orang graduan Program Sijil Seni Kraf dan 27 orang graduan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Kayu, Seni Kraf Logam serta Seni Kraf Rotan.

Sementara itu, seramai lapan orang graduan daripada Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam turut menerima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Dalam pada itu, seramai 17 pelajar menerima anugerah Graduan Terbaik bagi kategori Pelajar Terbaik Diploma Seni Kraf, Pelajar Terbaik Sijil Seni Kraf, Pelajar Terbaik Sijil Kemahiran Malaysia dan Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan – Diploma / Sijil / SKM.

Turut hadir ke Istiadat Konvokesyen IKN ke-21 antaranya, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Yusri Mohd Yusoff; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli dan Pengarah Kanan Institut Kraf Negara, Shamsul Azizi Samsudin,

Untuk rekod, sejak 2001 sehingga 2022, IKN telah melahirkan seramai 2,892 graduan melalui kampus utamanya di Rawang dan empat lagi Kampus Satelit di Inanam; Kota Belud, Sabah serta Kuching; Betong, Sarawak.

Data Pengesanan Graduan IKN juga menunjukkan 82 peratus atau seramai 2,381 orang graduan berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang sejak tahun 2001.

Sepanjang majlis konvokesyen berlangsung, program PASAREKA iaitu menghimpunkan pereka, penggiat industri seni dan pelajar berkongsi idea dalam pembangunan produk kraf baharu selain mendidik masyarakat tentang keindahan kesenian diadakan dari 1 hingga 5 November depan.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close