Malaysia tetap teruskan usaha pengaruh negara lain sokong Palestin

Malaysia tidak akan berhenti melakukan libat urus dan berusaha mempengaruhi negara-negara lain dalam menyokong perjuangan Palestin dan mengutuk dengan keras kekejaman rejim Zionis, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata Malaysia perlu meneruskan usaha mempengaruhi bukan sahaja dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) malah Kumpulan 77 Negara (G77) dan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.

“Libat urus itu perlu kita teruskan dan kita jangan putus asa kerana kita tahu bahawa antara tempat yang mempunyai kuasa mempengaruhi (adalah) seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan juga negara Amerika Latin.

“Kita mulai melihat pelbagai negara, misalnya satu per satu negara di Amerika Latin mulai menyatakan pendirian mereka menentang rejim Israel yang melakukan penganiayaan berterusan terhadap rakyat di Gaza,” kata beliau ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Zambry berkata dalam pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte di Putrajaya hari ini, Malaysia telah menyatakan dengan tegas pendiriannya dalam isu Palestin dan Belanda turut menghormati pendirian itu.

“Beliau (Rutte) mendengar penjelasan dari Malaysia, beliau juga menyatakan pendirian bahawa dengan perkembangan terkini yang menimpa Gaza sejak seminggu dua ini, kecenderungan Barat mulai berubah apabila dua per tiga rakyat Belanda yang menyokong tindakan Israel sebelum ini telah bertukar menyokong Palestin,” katanya.

Zambry berkata di peringkat rakyat serta badan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting untuk menyebar luas libat urus ini termasuk mereka yang berada di negara-negara luar.

Mengulas tindakan Kerajaan Amerika Syarikat yang menghantar tiga demarche (tatatindak) kepada Malaysia agar tidak meneruskan pendirian terutama keengganan negara untuk menganggap Hamas sebagai badan pengganas, Zambry berkata negara mengambil pelbagai pendekatan untuk menyatakan dengan tegas pendirian Malaysia dalam isu itu.

“Ada yang kata kita perlu hantar nota protes atau panggil duta negara-negara terlibat…kita guna semua pendekatan itu untuk sampaikan balik pandangan dan pendirian kita.

“Kedudukan prinsip Malaysia sangat jelas dalam konteks perjuangan Palestin, ini bukan perkara baharu tapi sejak dulu lagi dan ini perlu ditegaskan apabila kita berinteraksi dengan mereka,” katanya. – Bernama

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat