Tabung Peduli Palestin Kerajaan Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran kutipan RM1 juta.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah dana yang berjaya diperoleh itu merupakan satu usaha memberangsangkan dengan hanya tempoh kurang satu bulan kutipan dijalankan.
“Dan saya rasa bahawa akan lebih banyak lagi selepas ini kita akan adakan tabung yang akan dikutip oleh JPKK dan saya rasa tabung itu akan diteruskan sehingga akhir tahun ini.
“Dan kita akan serahkan peringkat awal ini kepada institusi global untuk mereka gunakan bagi bantuan bantuan yang perlu disegerakan untuk sampai ke Palestin,” katanya ketika ditemui media Pada Majlis Himpunan Solidariti Kemanan Sejagat Anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan di Sekolah Tinggi Chung Hwa.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar terus memberikan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin angkara kekejaman zionis Israel.
Terdahulu, Aminuddin berkata, pihaknya menjangka lebih banyak sumbangan akan dapat dikumpulkan selepas ini.
“Apa yang berlaku di Palestin adalah ujian Allah ke atas kita semua, bahkan ujian ke atas masyarakat dunia dalam memartabat nilai kemanusiaan.
“Pada masa sama, kita perlu bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan yang dikurniakan Allah ke atas negara ini.
“Hargai keamanan ini dengan bertekad untuk terus memelihara hubungan baik sesama kaum, berikan hak kepada yang berhak, tingkatkan nilai kemanusiaan, suburkan nilai saling hormat dan bersikap ihsan dalam setiap urusan,” katanya.