Sukan

Diaz rayu kumpulan gerila bebaskan bapa segera

Pemain antarabangsa Colombia, Luis Diaz merayu kumpulan gerila yang menculik ibu bapanya pada 28 Oktober lalu supaya membebaskan bapanya selepas menjaringkan gol sekembali beraksi bersama Liverpool.

Ibu Diaz diselamatkan dalam tempoh beberapa jam selepas diculik minggu lalu, namun pencarian terhadap bapanya Luis Manuel Diaz masih diteruskan.

Selepas menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan sekali gus menghalang Liverpool mengalami kekalahan mengejut di Luton, England, United Kingdom apabila seri 1-1 awal pagi tadi, Diaz memperagakan kemeja-t tertulis “pembebasan buat ayah.”

“Saya meminta ELN supaya membebaskan bapa saya dengan segera dan saya meminta organisasi antarabangsa untuk menjadi perantara bagi pembebasannya.

“Saya merayu kepada anda supaya segera membebaskannya, menghormati integritinya dan menamatkan penantian yang menyakitkan ini secepat mungkin,” kata Diaz.

Sabtu lalu, ketua kumpulan gerila Colombia, ELN mengakui pertubuhan itu melakukan “kesilapan” menculik ibu bapa Diaz.

Kedua-duanya diculik di kampung halaman mereka di Barrancas, berhampiran sempadan Venezuela.

Tampil sebagai pemain gantian pada minit ke-83, impak besar Diaz hadir dalam penampilan pertamanya untuk Liverpool sejak kes penculikan itu. – Agensi

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close