Ejen berpengaruh bantu Song Joong Ki tembus ‘tembok’ Hollywood

Bukan mudah bagi bakat-bakat dari rantau Asia membina nama di pentas gah seperti Hollywood.

Hanya beberapa nama jika boleh dihitung, dapat mengembangkan sayap ke pasaran antarabangsa itu.

Selain faktor persaingan, bakat, populariti dan dibantu oleh ejen yang berpengaruh menjadi antara kriteria penting untuk memastikan impian menjadi kenyataan.

Situasi sama dihadapi bintang terkenal Korea Selatan, Song Joong Ki apabila mendedahkan cabaran terpaksa dihadapi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Menerusi temubual dengan The Korea Herald, aktor berusia 38 ini berkongsi keghairahannya untuk berlakon di luar negara.

Sekali gus mendedahkan pernah menghadiri beberapa sesi uji bakat dengan bantuan isterinya, Katy Louise Sanders yang juga pelakon dari Britain.

“Ramai beranggapan minat mengembangkan sayap ke dunia perfileman luar negara timbul selepas mendirikan rumah tangga.

“Hakikatnya, saya sudah beberapa tahun menjalani sesi uji bakat untuk mencuba lebih banyak genre dan kepelbagaian budaya dan sistem.

“Pun begitu, sudah tentu isteri turut memberi sokongan dalam pelbagai cara kerana dia juga mempunyai rakan dalam bidang berkaitan sama ada di United Kingdom (UK) atau Hollywood, dengan mengaturkan temu janji dan uji bakat untuk saya.

“Bagaimanapun, apa yang menyedihkan, saya gagal dalam semua uji bakat,” luahnya.

Bagaimanapun, ia tidak pernah membuatkan Joong Ki berputus asa, sebaliknya akan kembali mencuba nasib selepas selesai menjalani penggambaran filem Hopeless.

“Selepas tamat penggambaran filem ‘Hopeless’, saya akan ke luar negara untuk menghadiri beberapa sesi uji bakat. Saya harap usaha ini bakal membuahkan hasil.

“Setakat ini, saya sering gagal. Impian membawakan watak menonjolkan kepelbagaian budaya dan konteks semakin bercambah setiap hari,” ujar pelakon drama rantaian popular, ‘Descendants of the Sun’, ‘Reborn Rich’ dan ‘Vincenzo’ ini.

Sementara itu, JoongKi menaruh harapan filem ‘Hopeless’ yang bakal ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis pada Mei depan, bakal menjadi batu loncatan untuknya mencapai impian.

“Saya dengar penonton Eropah mendapati filem ini sangat menarik berdasarkan subjek yang diketengahkan iaitu kisah kekejaman dalam keluarga. Mesej filem ini meninggalkan kesan kepada mereka.

“Saya berharap filem ‘My Name is Loh Kiwan’ mengisahkan seorang pembelot dari Korea Utara yang memohon status pelarian di Belgium yang bakal ditayangkan di saluran Netflix, mampu membuka mata penonton di peringkat global,” katanya. – Agensi

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2023/10/19/aniq-suhair-kunci-mulut-peguam-saya-untuk-mengambil-tindakan/?amp=1

Anda Mungkin Berminat