Akmal Rizal jadi pengendali sementara Penang FC

Pengurusan Penang FC (PFC) mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt dan penolongnya, Manzoor Azwira Abd Wahid tatkala saingan Liga Super berbaki tiga perlawanan.

Pengurusan PFC menjelaskan, langkah itu diambil susulan kegagalan kelab melangkah ke pentas akhir Piala Cabaran MFL 2023 ditambah prestasi membimbangkan pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

“Berbaki tiga lagi perlawanan Liga Super, pihak pengurusan memutuskan ketua jurulatih dan penolong ketua jurulatih direhatkan sehingga selesai Liga Super musim 2023.

“Semua pengendalian latihan dan penyusunan urusan perlawanan menentang Sri Pahang FC dan Terengganu FC di laman sendiri dan perlawanan terakhir menentang JDT FC akan dikendalikan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai ‘caretaker’. 

“Diharapkan peminat bola sepak di Pulau Pinang dapat turun beramai-ramai memberi semangat dan sokongan kepada Akmal Rizal dan pemain kita yang akan menggalas tugas berat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada September lalu, Akmal Rizal, 41, yang juga bekas penyerang negara, dicanang bakal dilantik sebagai ketua jurulatih B-23 negara kerana kredibilitinya dalam membentuk skuad muda namun beliau menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya ia sebagai khabar angin. 

Untuk rekod, skuad Harimau Kumbang kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan keputusan 13 kali kalah, lima kali menang, lima kali seri selepas mengharungi 23 perlawanan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat