Negeri

Hasrat wanita jual jongkong emas curi bernilai RM29,000 tidak kesampaian

Kegembiraan seorang wanita yang melarikan jongkong emas bernilai RM29,000 di sebuah kedai emas akhir bulan lalu bertukar jadi mimpi ngeri apabila dia ditahan polis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan laporan polis dibuat oleh pengurus kedai emas berusia 45 tahun itu memaklumkan suspek datang ke kedainya pada pukul 4.30 petang, 30 Oktober lalu.

Suspek berusia 25 tahun ditahan sepasukan anggota daripada Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada jam 6.45 petang di rumahnya, di Taman Malim Jaya.

Menurutnya, suspek awalnya menyamar sebagai pelanggan dan meminta seorang pekerja mengeluarkan satu jongkong emas 999 yang beratnya 100 gram.

“Selepas itu suspek memegang gold bar itu lebih kurang tiga minit.

“Dia kemudian melarikan diri dengan membawa bersama jongkong emas itu sebelum menaiki sebuah kenderaan jenis Nissan Livina yang turut terdapat dua penumpang di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan dalam tempoh seminggu, polis berjaya mengesan seorang wanita.

Menurutnya, suspek ditahan ketika berada dalam rumah dan soal siasat awal yang dilakukan, dia mengaku terlibat dalam kes dilaporkan.

Pemeriksaan yang dilakukan di rumah berkenaan turut menemui sebuah botol yang dalamnya terdapat satu plastik lut sinar mengandungi gold bar bertulis Suisse 100 gram 999.

“Suspek mengaku merancang untuk menjual jongkong emas tersebut bagi menampung kehidupannya selepas dibuang kerja selain mempunyai konflik keluarga.

“Selain itu turut mengaku terlibat dalam satu kes di Tengkera yang sedang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, kerana mencuri wang di sebuah restoran tempat dia bekerja,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close