Belanjawan Selangor 2024, seimbang dan tumpu kebajikan rakyat – Altimet

Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad menyambut baik Belanjawan Selangor 2024 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu.

Melalui satu kenyataan, Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, belanjawan dikemukakan dengan nilai RM2.53 billion itu satu belanjawan seimbang dan memberi penumpuan kepada soal kebajikan rakyat.

Malah tambahnya, pelbagai inisiatif ditawarkan kerajaan negeri melalui belanjawan itu pastinya dapat memberi kelegaan dan manfaatnya dapat dinikmati rakyat Selangor.

“Sebagai wakil Lembah Jaya, tentunya kita berkeyakinan Selangor akan maju ke depan terutama dengan pengumuman baki hutang negeri sebanyak RM19.20 juta terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS) akan berjaya diselesaikan.

“Ia dijangka diselesaikan sepenuhnya tahun hadapan berlandaskan kebebasan kewangan cemerlang Selangor menunjukkan kemampuan pentadbiran padu berdasarkan tatakelola cemerlang Pakatan Harapan,” katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Altimet turut berkata belanjawan dibentangkan juga memberi penekanan kepada kepentingan peranan wanita di Selangor dan institusi kekeluargaan yang menjadi tunjang bagi negeri bertuah ini.

“Saya juga memuji pendekatan dan strategi perbelanjaan yang berkesan dan berhemah sehingga prestasi kewangan kerajaan negeri merekodkan lebihan kewangan sebanyak RM427.25 juta.

“Hasilnya, Selangor mampu menggunakan RM1.113.27 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala sebanyak 72.05 peratus atau RM864.56 juta untuk perbelanjaan pembangunan,” katanya lagi.

Antara insentif disediakan kerajaan negeri Selangor kepada kaum wanita di negeri itu antaranya peruntukkan RM4 juta untuk aktiviti dan program wanita.

Bagi usahawan wanita, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.3 juta melalui program Liga Usahawan Wanita untuk mula niaga, urus kewangan, pemasaran dan penempatan produk

Kerajaan negeri sementara itu turut meneruskan insentif Biasiswa Wanita Berdaya Selangor untuk menyambung pelajaran.

Anda Mungkin Berminat