Lelaki mengamuk, tikam perut sendiri guna pisau di Sibu

Seorang lelaki yang mengalami masalah mental mengamuk sebelum menikam perutnya sendiri menggunakan sebilah pisau di Jalan Mashuri, Sibu, Sarawak pada Isnin (semalam).

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihak polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan kira-kira pukul 12.20 tengah hari mendapati lelaki itu sedang mengamuk sambil memegang sebilah parang dan sebilah pisau.

“Pihak polis cuba menenangkan lelaki terbabit, tetapi dia bertindak agresif lalu menikam beberapa kali perutnya menggunakan pisau. Lelaki tersebut mengalami luka pada bahagian perut akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zulkipli berkata, lelaki berkenaan berjaya ditangkap oleh pihak polis sebelum dia dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan dan siasatan awal mendapati lelaki tersebut mengalami masalah mental.

“Perkara ini disahkan oleh ahli keluarganya. Kes juga telah dirujuk kepada Bahagian Psikiatri Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut. Tiada sebarang insiden melibatkan orang awam yang lain berlaku,” katanya.

Baca juga: