Nasional

Peluang kedua banduan hukuman mati, penjara seumur hidup

Sebanyak 978 permohonan yang membabitkan 1,020 banduan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat diterima untuk semakan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah itu sehingga 9 November lalu selepas semua permohonan hendak dikemukakan kepada mahkamah dalam tempoh masa 90 hari dari tarikh akta dikuatkuasakan.

Katanya, pecahan bilangan 978 itu membabitkan 861 permohonan bagi semakan hukuman mati dan 117 permohonan semakan pemenjaraan sepanjang hayat.

“Secara keseluruhannya terdapat seramai 1,020 banduan hukuman mati dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang layak mengemukakan permohonan mereka.

“Pelaksanaan bagi pengendalian prosiding mahkamah ini telah mengambil kira pelbagai faktor mengikut keutamaan termasuklah umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain mendesak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azalina, pada hari ini merupakan hari bersejarah bagi negara kerana permohonan-permohonan bagi Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) didengar di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Katanya, tujuh banduan hukuman mati bagi kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 melalui semakan hukuman mati manakala empat orang bagi pemenjaraan sepanjang hayat.

“Hal ini membuktikan bahawa prinsip restorative justice dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara. Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempromosi dan mempertahankan hak asasi manusia sejagat,” katanya.

Pada masa sama, kata Azalina, Kerajaan Perpaduan menegaskan bahawa hukuman mati kesalahan-kesalahan jenayah masih kekal dalam sistem pentadbiran jenayah di Malaysia, namun bukan lagi mandatori seperti sebelum ini.

Katanya, pindaan undang-undang telahpun memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara masing-masing dalam mengenakan hukuman yang sewajarnya seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang berkenaan.

“Perkara ini selari dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan akhir untuk kembali ke masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai rakyat biasa,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close