Nasional

Lebih 20,000 unit rumah siap dibina cecah nilai RM18.3 bilion tidak terjual

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan bilangan unit rumah siap dibina tidak terjual sebanyak 26,286 unit dengan nilai RM18.3 bilion berbanding bilangan unit, 135,614 yang dilancarkan.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu berdasarkan laporan dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara bagi data awalan suku kedua tahun 2023.

“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 5.3 peratus dari segi jumlah unit dan penurunan sebanyak 0.6 peratus dari segi nilai berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai apakah usaha kementerian bagi mengatasi isu hartanah tidak terjual yang berpunca daripada ketidaksepadanan nilai hartanah dibina dengan kemampuan pemilikan rakyat.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, bagi memastikan isu lambakan rumah tidak terjual dapat dikawal, kerajaan telah dan sedang melaksanakan beberapa tindakan, pertamanya pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah.

Katanya, pemetaan ini sebagai panduan kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi menetapkan harga jualan rumah di lokaliti tertentu.

Kedua katanya, menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan atau Feasibility Study sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan.

“Ia adalah bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelakkan rumah tersebut tidak terjual.

“Ketiga, kementerian sedang membangunkan Sistem Analitis Data Raya (Big Data Analaytics) Perumahan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan,” katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan kerajaan komited menggalakkan pembiayaan rumah menerusi inisiatif iBiaya di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Katanya, jumlah keseluruhan jaminan diberi oleh kerajaan telah meningkat sejak skim itu dilaksanakan.

“Berdasarkan pengumuman Ekonomi Madani baru-baru ini, jumlah keseluruhan jaminan yang diberi oleh kerajaan telah meningkat kepada RM10 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan SJKP ini.

“Di sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 sehingga 30 September 2023, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan.

“Seterusnya, Kerajaan Madani melalui Belanjawan 2024 telah mencadangkan untuk menambah lagi RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 orang peminjam,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close