Nasional

4,435 kes pelaburan tidak wujud bagi tempoh Januari hingga Oktober

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan secara purata sebanyak 15 kes pelaburan tidak wujud disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) setiap hari.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, mengikut rekod sebanyak 4,435 kertas siasatan kes pelaburan tidak wujud dibuka membabitkan nilai kerugian RM364.5 juta sepanjang tempoh Januari hingga bulan lalu.

Katanya, apa yang membimbangkan, nilai kerugian itu bersamaan dengan 20 peratus daripada nilai kerugian keseluruhan kes jenayah komersil iaitu RM1.824 bilion yang direkodkan pada tahun ini.

“Daripada 4,435 kes pelaburan tidak wujud yang disiasat bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, 4,051 kes adalah berkenaan pelaburan online manakala bakinya, 384 kes adalah pelaburan secara bersemuka.

“Secara perbandingan, kes pelaburan tidak wujud yang dicatatkan bagi Januari hingga Oktober tahun ini merekodkan peningkatan 1,557 kes, bersamaan 54.1 peratus berbanding tempoh sama tahun 2022.

“Jumlah kerugian yang turut merekodkan peningkatan sebanyak RM176,232,864.45 atau bersamaan dengan 93.6 peratus,” katanya dalam sidang media Kuala Lumpur pada Isnin.

Ramli berkata, kes pelaburan tidak wujud dikategorikan kepada dua modus operandi utama iaitu pelaburan secara dalam talian (online) dan pelaburan secara bersemuka.

“Pelaburan online merujuk kepada kaedah pelaburan yang menggunakan media sosial seperti Telegram, WhatsApp, Facebook dan Instagram untuk mencari dan berurusan dengan pelabur.

“Bagi pelaburan secara bersemuka, pelabur akan berjumpa dan berurusan secara terus dengan agen mahupun wakil syarikat yang menguruskan pelaburan terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramli berkata, analisa demografi mendapati kebanyakan mangsa yang menjadi mangsa penipuan pelaburan adalah dalam kalangan mereka yang berusia antara 31 hingga 40 tahun.

“Dapatan itu berdasarkan jumlah laporan polis yang diterima sepanjang Januari hingga Oktober lalu yang menunjukkan 1,099 laporan polis diterima daripada mangsa dalam kategori umur berkenaan.

“Jumlah kes membabitkan kategori lain pula, 15 hingga 20 tahun (124 kes), 21 hingga 30 tahun (835 kes), 41 hingga 50 tahun (953 kes), 51 hingga 60 tahun (815 kes) dan 60 tahun ke atas (609 kes).

“Berpandukan analisa ini, mereka yang berada dalam lingkungan umur 41 hingga 50 tahun dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan lebih berwaspada apabila melakukan urusan berkaitan pelaburan,” katanya.

Bagi kategori pekerjaan mangsa, pula katanya individu yang bekerja di sektor swasta merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,880 kes, diikuti penjawat awam (298 kes), bekerja sendiri (390 kes), suri rumah (762 kes), pesara (514 kes) dan tidak bekerja (592 kes).

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 540 kes atau 12 peratus kes sudah berjaya dituduh di mahkamah, setakat ini.

BH hari ini melaporkan kewujudan puluhan tawaran pelaburan meragukan yang diklankan menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh tiga hingga enam jam.

Mengulas perkara itu, Ramli berkata sikap tamak untuk mendapat pulangan lumayan dalam masa singkat menyebabkan masih ramai terpedaya untuk menyertai skim pelaburan sedemikian walaupun banyak kes seperti itu didedahkan kepada umum. – Berita Harian

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close