Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri setahun lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar menyelesaikan masalah membelenggu rakyat termasuk akibat kenaikan kos hidup, selain menekankan tata kelola baik dalam pentadbirannya dengan melawan kebobrokan nilai dan kebejatan rasuah.
Walhasil selepas setahun berlalu, Anwar bersama barisan kabinet Kerajaan Perpaduan dilihat membuat kemajuan ketara dalam mendepani pelbagai cabaran dalam negara serta di peringkat global untuk membawa Malaysia kembali ke landasan menuju sebuah negara maju.
Malah ketika membicarakan soal rakyat, pemimpin berusia 76 tahun itu tegas dengan pendiriannya yang sering meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan selaras dengan matlamat kerajaan pimpinannya untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
Antara langkah pertama dilakukan Anwar selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, mengumumkan untuk menolak gaji bagi jawatan itu, selain mengesahkan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan bersetuju memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan sehingga ekonomi pulih.
Keputusan itu, kata Anwar adalah langkah pertama bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinannya, sekali gus berusaha memahami keperitan dan kepayahan rakyat yang masih bergelut dengan cabaran kewangan dan sosial susulan kos sara hidup semakin tinggi.
Selain itu, mewarisi hutang negara mencecah RM1.5 trilion ketika mengambil alih kepimpinan negara, Anwar berdepan pelbagai liku tersendiri bagi menghasilkan pencapaian cemerlang dalam masa setahun perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, terutama dalam tempoh pasca pemulihan Covid-19.
“Anwar merupakan Perdana Menteri Malaysia yang berhadapan cabaran begitu besar sepanjang tahun pertama sejak dilantik sebagai Perdana Menteri dan membentuk kerajaan disebabkan pelbagai perkembangan dalam negara dan peringkat global,” kata penganalisis politik Dr G Manimaran.
Anwar yang juga Presiden PKR juga cukup “pantang” dengan amalan rasuah dan disebabkan itu seawal mentadbir negara, perkara pertama dilakukannya ialah mahu melaksana reformasi tata kelola pentadbiran dan membanteras rasuah habis-habisan menjadikan ramai yang “gerun”.
“Saya tidak ragu-ragu katakan kerajaan terutama Perdana Menteri mempunyai kemahuan politik tinggi dan dorongan untuk mencegah rasuah tahap maksimum,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, mengulas setahun pentadbiran pimpinan Anwar.
Maka tidak hairanlah Anwar memperkenalkan konsep Malaysia Madani sebagai ikhtiar memetakan strategi tata kelola dan pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai, etika atau akhlak berdasarkan enam tonggak iaitu M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (Daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (Ihsan).
“Dalam aspek tata kelola atau urus tadbir, penekanan Perdana Menteri dalam urusan pentadbiran perlu diberi pujian kerana kejayaan dan kecemerlangan negara dipengaruhi oleh urus tadbir yang baik, terutama dalam pelaksanaan sesuatu dasar,” kata Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, Firdaus Ramli.
Dalam tempoh setahun pertama ini juga, Anwar turut membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) meliputi dasar dan kaedah baharu menghadapi cabaran semasa yang dijajarkan semula dengan aspirasi dan visi Ekonomi Madani.
KSP RMK12, meliputi 17 anjakan sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif bagi menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih serta meneraju ekonomi Islam.
“Melihat kepada dasar dan program diperkenalkan Perdana Menteri sejak mengetuai Kerajaan Perpaduan terdapat beberapa kesan positif boleh dikenal pasti. Anggaran awal KDNK bagi suku ketiga 2023 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan ekonomi negara dijangka berkembang sederhana pada kadar 3.3 peratus dan mencapai kadar empat peratus pada 2023.
“Ini menunjukkan terdapat pertumbuhan positif dalam ekonomi Malaysia sejak November 2022 di sebalik persekitaran ekonomi global yang lemah serta dibayangi pelbagai konflik antarabangsa,” kata Firdaus.
Menyifatkan Malaysia sebuah negara makmur namun mengalami banyak “kebocoran” khususnya ketirisan pemberian subsidi, Anwar mengambil langkah berani ke arah pemberian subsidi bersasar bagi memastikan hanya mereka benar-benar layak menikmatinya, bukan warga asing dan golongan maha kaya.
Perkara itu dapat dilihat daripada kesungguhan beliau memulakan usaha melaksana dan mengkaji subsidi bersasar seperti dalam aspek Lembaga Tabung Haji, elektrik, bahan api diesel dan petrol, ayam – pada ketika subsidi kerajaan untuk rakyat di seluruh negara termasuk makanan dijangka mencecah RM81 bilion tahun ini.
“Kejayaan Ekonomi Madani dilihat dari segi usaha dan langkah mengurangkan kesenjangan ekonomi dan kebajikan rakyat. Penyusunan semula subsidi perlu diimbangi untuk mengelak beban terlalu besar kepada golongan miskin,” kata penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Dalam tegas ada lembutnya, Anwar dilihat mengambil beberapa langkah tidak populis, seperti tidak membenarkan pengeluaran KWSP serta penamatan subsidi dan kawalan harga ayam misalnya, namun di sudut lain, pelbagai bantuan tunai dan langsung terus diberikan kepada rakyat hasil penjimatan subsidi.
Anwar dan Kabinetnya, dilihat tidak membiarkan rakyat terkapai-kapai di kala berdepan cabaran kos sara hidup pasca-COVID-19, menerusi pemberian pelbagai jenis bantuan dan inisiatif bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar antaranya menerusi inisiatif Payung Rahmah.
Ini dilaksanakan menerusi Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Rahmah, Pakej Jalur Lebar Rahmah, Kad Diskaun Khas Menu Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), malah kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah 2023 kepada 8.7 juta penerima dan memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.
Pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menyasarkan peningkatan pendapatan golongan miskin tegar dan kumpulan B40 pula memberikan manfaat kepada 4,100 isi rumah sehingga kini.
“Anak Melayu anak saya. Anak Cina anak saya. Anak India anak saya. Anak Iban atau anak Kadazan, mereka semua anak saya,” antara skrip yang sering diungkapkan dalam setiap ucapannya, menggambarkan betapa beliau nekad membantu semua rakyat tanpa mengira kaum selagi menggalas jawatan utama Kerajaan Malaysia. – Bernama
Baca juga: