Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bukanlah satu kenaikan pangkat, namun tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga sebagai Ketua Negara.
Sultan Ibrahim bertitah, keutamaan baginda bukan untuk menjaga kepentingan politik 222 wakil rakyat, namun sebaliknya 33 juta rakyat Malaysia akan menjadi kepentingan dan keutamaan baginda.
“Saya merasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu semasa di Pasir Gudang iaitu virus perpecahan.
“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri
“Sehubungan itu saya menitahkan dan menyeru semua pemimpin bertolak ansur, dan hormat menghormati di antara satu sama lain untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat,” titah baginda dalam akaun Facebook rasmi ini.
Titah ucapan Sultan Ibrahim itu adalah sempena Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru, hari ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebelum ini dilaporkan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Pada 3 November 2016, Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah ‘virus’ perpecahan yang datang ke negeri ini berpunca dari parti politik baharu dan ahlinya yang menjadi penyebar sehingga menghentam kerajaan serta menghasut rakyat membenci pemimpin.
Apabila rakyat dijangkiti virus itu kehidupan rakyat dan kemakmuran negara akan musnah kerana ia amat merbahaya dan sukar diubati.
“Ingin saya ingatkan mengenai satu penyakit sedang datang ke Johor akibat sejenis virus yang amat merbahaya, lebih teruk daripada Zika kerana tiada penawarnya. Virus yang saya maksudkan adalah virus perpecahan,” titah baginda ketika itu. – Berita Harian
Baca juga: