Parti komponen Kerajaan Perpaduan kekal setia, tolak cubaan ‘tebuk atap’ – PM Anwar

Parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan menolak dengan tegas segala percubaan pembangkang untuk ‘menebuk atap’ dalam usaha meruntuhkan kerajaan hari ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, malahan pimpinan parti-parti politik itu kekal setia dengan prinsip dan tatakelola pentadbiran baik selama setahun.

“Satu tahun berlalu. Pada peringkat awal, bulan-bulan awal, memang sedikit terumbang-ambing kerana sentiasa ada percubaan mengintai, mengintip dan mendesak untuk mengulangi amalan ‘tebuk atap’… kesetiaan sahabat-sahabat teruji, katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Anwar menyatakan penghargaan beliau di atas kemuafakatan dan kesetiaan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan biarpun mereka berhadapan cabaran untuk menangkis dan mematahkan percubaan daripada pihak tertentu untuk mengambil alih kerajaan termasuk ada yang dipelawa menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang dihadiri 2,734 perwakilan dan 1,500 pemerhati, serta pimpinan utama parti gabungan Kerajaan Perpaduan dan perwakilan kedutaan asing.

Sehubungan itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada pimpinan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan dan Jemaah Menteri kerana terus setia untuk memastikan agar kerajaan ketika ini kekal inklusif dan mewakili semua kaum serta wilayah.

“Pelbagai telahan dan tohmahan telah dilontarkan, saya ingin tegaskan semula bahawa dalam perundingan awal (Kerajaan Perpaduan) yang ditekankan adalah prinsip dan hala tuju negara, tatakelola yang baik, membanteras rasuah, memacu pertumbuhan ekonomi.

“Ini dasar dan saya ucapkan terima kasih kepada rakan kerana setia dengan prinsip ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Kerajaan Perpaduan juga tidak akan “tergopoh-gopoh” dalam melaksanakan agenda reformasi kerana mengambil pendekatan daripada sejarah dunia dan pengalaman PH pada 2018.

“Walaupun terdapat golongan elit berkata kita perlahan dalam kemajuan reformasi tetapi percayalah, belajar daripada pengalaman yang lalu.

“Kalau kita gopoh, baik dalam soal pelaksanaan Islam atau dalam pelaksanaan agenda reformasi ini, kita akan ditolak rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu berhemah dan bijaksana dalam mengukur keupayaan sendiri dan penerimaan majoriti rakyat kerana tiada semua masalah negara dapat diselesaikan dalam masa setahun.

Anwar juga menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan negara ini diperkotak-katikkan atas nama agama dan kaum selain tidak berkompromi dengan pihak yang memainkan isu perkauman termasuk isu meritokrasi kerana kerajaan ini berikrar untuk menjaga kebajikan semua kaum.

Turut hadir dalam kongres berkenaan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Kongres yang berlangsung dua hari bermula hari ini, mengangkat tema “Memaknai Reformasi, Menjulang MADANI”. – Bernama

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat